Mesej Presiden
Selamat datang ke Laman web rasmi Persatuan Juruterapi Pergigian Malaysia.
Alhamdulillah, PJPM mengorak langkah setapak lagi dengan laman web rasmi baharu dan ini adalah sebahagian daripada evolusi berterusan PJPM. Adalah diharapkan melalui laman web ini, dapat menawarkan platform yang lebih mantap dan mampu menjadi wadah aspirasi dalam perkongsian ilmu dan maklumat yang bermanfaat agar selari dengan objektif penubuhan PJPM.
Fokus penubuhan PJPM adalah sebagai penggerak, mengerat dan mengukuhkan hubungan muhibah sesama ahli melalui kerjasama dan persefahaman disamping menjaga kebajikan, serta kesejahteraan ahli. Selain itu melalui Persatuan ini adalah diharap dapat memperkasa dan memartabatkan profesionalisme ahli dalam bidang kesihatan pergigian.
Selaku Presiden PJPM , saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menerajui persatuan ini dengan dibantu oleh barisan jawatankuasa yang proaktif dan komited dalam merancang dan melaksanakan program yang mampan dan berimpak positif yang menjadi pemangkin untuk memperkasakan ahli. Saya juga menyeru kepada semua agar bersama-sama berganding bahu bekerjasama dan menyumbang tenaga, idea serta kepakaran masing-masing untuk manfaat semua. Sesungguhnya kita semua memerlukan semangat yang jitu dan usaha yang gigih tanpa jemu dari segenap sudut kearah transformasi diri yang lebih positif.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa atas penglibatan dan usaha gigih yang telah dicurahkan. Tidak ketinggalan ucapan terima kasih kepada semua mantan Presiden terdahulu yang telah membina landasan yang kukuh buat kami, Semoga kita terus bergerak maju kehadapan dalam mencapai misi dan visi PJPM. Harapan saya, semoga PJPM ini akan terus kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
‘One Team – One Voice”
Salam aspirasi,
Fatimah Rahman
Presiden
Persatuan Juruterapi Pergigian Malaysia